Teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM

Kubentang Sebuah Peta (Antologi Teks Moden), Nilai Insan (Antologi Teks Tradisional) Naratif Ogonshoto (Novel)

Carian Blog Ini

28 Februari 2023

Teks Cerpen Gulai Sembilang Untuk Abah

Hasil Karya : Fauziah Mohd. Ismail




AKU masih ingat, malam itu kami berkumpul anak beranak, Along ada, Angah juga turut pulang. Achik dan juga aku tidak ketinggalan melengkapkan malam yang indah itu. Malam itu emak memasak juadah istimewa daripada biasa. Gulai ikan sembilang kegemaran abah menjadi menu utama. Sambal udang campur petai, sayur keladi, gulai ayam kampung, dan ikan terubuk cicah air asam yang paling sedap disediakan emak sejak dahulu lagi. 

Tiga kali abah menambah malam itu. Kami kehairanan dengan selera abah yang tiba-tiba berganda itu. Aku yang tidak menjamah ikan sungai dipaksa oleh abah supaya merasanya walaupun sedikit. Sedap pujuknya, apa lagi kalau emak yang memasak.

Malam itu, aku kira malam keramat apabila Along dan Achik yang bertahun-tahun tidak bertegur sapa menampakkan tanda akan berdamai. Air dicencang tidak akan putus dan biduk berlalu kiambang pasti bertaut. Entah, aku tidak tahu punca persengketaan mereka. Kata abah, hal orang lelaki. Malam itu malam kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Selepas tiga bulan berlalu, keluarga kami jadi murung kerana dilanda musibah yang paling memedihkan. Ratu hati kami pergi menghadap Ilahi. Aku terasa sepi sejak emak hilang daripada kami kerana emak tempat kami bermanja. Rumah itu seakan tidak bermaya. Aku tahu yang paling terasa kehilangan ialah abah. Selama ini, emak tempat abah
mengandar kasih, melenyap sepi hatinya dan emak teman hidup abah yang paling
setia. Aku cuba menemani abah, mengisi ruang-ruang sepi yang ditinggalkan oleh
emak itu.

Aku tidak menyalahkan abang yang lain kalau mereka kurang waktu untuk abah kerana masing-masing punya kehidupan sendiri. Aku kira abah juga mengerti. Begitulah pusingan hidup, kata abah, suatu ketika sambil mengusap helai rambutku yang panjang. Aku membela rambutku kerana abah. Anak perempuan manis, kalau menyimpan rambut panjang, tambah abah lagi.

"Averah juga akan tinggalkan abah suatu hari nanti."

"Bukan meninggalkan abah tetapi lelaki itu akan menggantikan tempat abah, menjaga dan mengasihi Averah seperti abah menjaga dan mengasihi. Tanggungjawab ke atas Averah akan terlepas. Kasih yang abah akan terus menghantar Averah untuk pulang menemani abah. Averah janji, abah!" 

"Doktor muda macam Averah tentu sentiasa sibuk."

"Averah sudah memohon untuk bertugas di tempat paling hampir dengan kampung kita supaya dekat dengan abah," kata aku melenyapkan kebimbangan abah.

Aku tidak pernah menyesal kerana menolak tawaran belajar di luar negara dan memilih universiti tempatan untuk menyambung cita-cita menjadi doktor seperti Along. Aku lebih menyesal kalau meninggalkan abah dalam kerinduan dan kesepian. Aku kira aku paling rapat dengan abah. Mungkin kerana aku satu-satunya anak perempuan abah.

Disebabkan abah juga aku menolak cinta Dr. Lokeman. Bagiku, lelaki itu sangat sofistikated, anak orang berada dan tidak pernah akan mengalah meninggalkan kota gahnya untuk mengikut aku tinggal di kampung yang masih tertinggal dan jauh daripada hidup yang moden serta lengkap dengan kemudahan. Tidak mungkin lelaki itu akan bertukar watak hanya
kerana cinta terhadap gadis pingitan seperti aku. Aku menolak cintanya dengan
seribu alasan walaupun dia tidak henti-henti mengirimkan aku mawar merah yang
harum dan cantik. Aku tidak mahu terlanjur mencintainya walaupun ramai yang
beranggapan aku menolak tuah.

"Hanya gadis yang urat nadinya terputus sahaja yang akan menolak cinta teruna setampan Dr. Lokeman," sindir teman-teman. Biarlah, aku tidak akan kempunan. Puncak
cinta bukan pada tawaran harta. Bukan pada paras rupa tetapi pada hati dan
keserasian dalam ikatan. Aku mengangankan cinta yang akan membawa aku syurga.
Tunggulah, aku akan menjumpai cinta itu.

Hujung minggu itu, Along menelefon aku. Katanya, meminta semua anaknya pulang. Kata abah, di kampung memintanya mencari ikan sembilang untuk dibuat gulai dan meminta semua anaknya pulang. Kata abah, di kampung sekarang agak susah untuk mencari ikan sembilang. Abah rindu akan anak cucunya. Abah rindu untuk makan bersama-sama seperti dahulu. Kedengaran suara Along seperti keberatan untuk memenuhi harapan abah dengan
alasan sibuk dengan kerja. Angah pula berada di Miri. Hujung minggu itu hanya
aku dan Achik serta isterinya yang sedang sarat mengandung anak pertama yang
pulang.

Kami sama-sama memasak gulai ikan sembilang untuk abah. Mungkin tidak
sesedap masakan arwah emak tetapi aku harap abah gembira dan kempunan abah
tertanggal. Sesudah menjamah nasi pada malam itu dan melayan kami berbual di
anjung, tempat yang selalu menjadi pilihan kami untuk berkumpul, abah meminta
untuk masuk tidur. Sebelum itu, banyak cerita yang abah kongsi bersama kami.
Kisah mudanya yang bergelar guru tetapi saya tidak seorang pun anak-anaknya
berminat untuk menyambung kerjaya abah sebagai pendidik. Tetapi abah tidak
kesal. Pelajaran dan ilmu agama sudah ditinggalkan untuk anak-anaknya.

Sebelum abah masuk ke kamar beradunya, abah sempat melemparkan senyuman untuk kami. Katanya, alangkah indah kain semua anaknya dapat pulang. Abah juga memuji gulai sembilang. Katanya, gulai itu menambahkan rindunya kepada emak. Ah, hampr air mataku
menitis!

Aku melihat abah sarat dengan kasih sayangnya kepada anak-anak malam itu, walaupun sesekali dia memandang di kejauhan, mungkin kesal kerana perhimpunan kami malam itu ada kekurangannya. Along dan Angah yang diharapkan dapat bersama-samanya gagal
pulang untuk memenuhi permintaan hati seorang tua itu.

Dan, aku tidak tahu mengapa, jiwa seorang anak ini seakan dapat merasakan sesuatu. Hati aku berdebar tidak sebagaimana selalu ketika abah memandang aku penuh kasih sebelum
masuk tidur.

Esoknya, aku menemui jawapan keresahan itu. Ketika aka mengejutkan abah untuk solat Subuh bersama-sama, aku mendapati nafas abah tidak beralun seperti biasa. Abah telah meninggalkan kami dengan kasih yang terlalu indah. Rupanya, itu pertemuan kami yang
terakhir. Pagi itu, Along dan Angah pulang dengan kekesalan pada wajah mereka
kerana gagal menunaikan permintaan daripada seorang abah yang tercinta.



27 Februari 2023

LATIHAN SOALAN STRUKTUR (CERPEN)

1.  Pak Yasok mengangkat muka dari meja kerja di depan jendela. Dia memandang sebuah kereta Kembara JFX995 yang membelok masuk ke halaman rumahnya. Siapakah yang ke mari dalam hujan-hujan begini? Berdetik di dalam hati kecil Pak Yasok. Kereta itu masuk ke halaman rumahnya. Enjin dimatikan dan seorang anak gadis dengan memikul beg sandang berlari ke beranda rumahnya. Dia termengah-mengah mengesat kepalanya yang basah dan sedikit lembap oleh rembesan hujan.

a)      Jelaskan unsur suspens  dalam petikan.  [2 markah]
b)      Huraikan dua teknik penceritaan/plot dalam petikan. [2 markah]


2.  Konflik ini hanyalah dalam diri saya. Tetapi saya rasa terpukul dengan kata-katamu. Benarkah saya ini hanya seorang rafik buatmu? Izinkan saya perjelaskan, saya tidak mampu lagi untuk menjadi sorang rafik tanpa sekeping hati. Perbincangan hangat kita tentang tentang Pedra Branca, memperjelas kedudukan hati saya pada naluri seorang rafik. Bagaimana mungkin saya menjadi seorang rafik lagi apabila hati saya ini telah dibawa pergi jauh ke jantung semenanjung.

a) Nyatakan dua sebab watak saya mengatakan dia tidak mampu menjadi seorang rafik lagi.  [2 markah]
b) Apakah maksud konflik? Nyatakan jenis konflik dalam petikan.  [2 markah]


3.  “Saya tidak berilmu, sebab itu saya mahu beramal walaupun sekecil-kecilnya amalan saya itu. Itu lebih baik daripada saya banyak berilmu tetapi tidak beramal.” Pemuda itu sedikit kesal mengeluarkan kata-katanya yang mungkin menyinggung profesor yang mahu mengajarnya itu. Walau bagaimanapun, profesor itu lebih kesal lagi. Dia datang beribu-ribu kilometernya untuk mengkaji. Sedang anak muda yang tidak berwibawa itu juga datang beribu-ribu kilometer jauhnya, hanya untuk beramal.

a)      Nyatakan satu perbezaan watak antara pemuda dan profesor.  [2 markah]
b)       Nyatakan satu pengajaran dalam petikan.   [2 markah]



4.  “Belum,” balas guru itu. “Belum ada kajian alam sekitar untuk projek itu. Aku tahu. Para kapitalis dari Turki, Jepun, dan Jerman itu berfikir mereka boleh berbuat sesuka hati di Ogonshoto asalkan mempunyai wang. Kelak, apabila kajian alam sekitar diumumkan, barulah mereka tahu. Mereka terpaksa keluar dari pedalaman Kuri, dari Ogonshoto ini tanpa menebang walau sebatang pokok pun di hutan kita ini.”

a)      Jelaskan satu nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)      Nyatakan satu mesej dalam petikan.   [2 markah]


5. Pernah kaukata, kes kami akan kaubawa ke meja seminar antarabangsa. Katamu, di situ akan kaukecam budaya hidup manusia moden yang suka mencemar dan membuang kotoran ke laut. Hendak engkau tentang penerokaan tanah hutan kerana tanah merah yang terhakis dari situ mengeruhkan biru laut. Hendak engkau tentang pembuangan najis ke laut yang busuknya setahun pelayaran. Kaumahu lanun-lanun yang mencuri karang-karang laut dari terumbu induk disumbat ke penjara seumur hidup mereka.


a) Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.   [4 markah]
b) Nyatakan satu persoalan dalam petikan.    [2 markah]
c) Jelaskan dua nilai murni yang terdapat pada watak engkau.  [4 markah]
d) Jelaskan sudut pandangan dalam cerpen.  [4 markah]

6.    Sementara anak-anak muda juga dilantik mengganggotai lembaga masjid. “Ini untuk menjadi pelapis,” kata Pak Mid yang berpandangan jauh ke hadapan.

      Dan hari ini aku melihat kampungku cukup aman, maju dan bersepadu penduduknya. Tidak lagi kedengaran panggilan-panggilan menghina dalam kalangan masyarakatnya. Yang ada ialah perpaduan. Berat hatiku hendak meninggalkan kampung halamanku apabila aku lulus nanti.

a) Nyatakan dua latar masyarakat  dalam petikan.  [2 markah]
b) Nyatakan  dua mesej dalam petikan.   [2 markah]

7.  Malam itu Sharifah tidak tidur. Dia berniat untuk sedekahkan baju-baju yang baru siap itu kepada saudara-maranya di kampung. Dia akan hubungi Mak Lijah tukang jahit dan Mek Nab tukang masak mereka. Dia akan berpakaian seperti Mek Nab supaya masyarakat dapat dikaitkan dengannya. Kalau Abang Said meragam, malu berjalan dengannya selepas ini, dia akan berserah kepada takdir. Dia tidak boleh menggembirakan semua orang. Imej Abang Said harus dijaga agar jangan dikata orang lagi. Begitulah kasih seorang isteri.

a) Nyatakan satu perwatakan Sharifah berserta contoh.  [2 markah]
b) Nyatakan dua peranan Sharifah.   [2 markah]


8.    Aku tidak mahu tersilap lagi. Aku ingin memohon maaf pada Rosa. Aku sudah terbiasa dan terlatih untuk menjadi seorang yang berterus-terang. Aku punya amanah yang perlu disampaikan kepada setiap warga watanku. Aku hanya menyampaikan sesuatu yang benar. Lantas aku tidak pantas berkias dalam bicaraku. Sifat kewartawananku memilih fakta-fakta bila, di mana, siapa, mengapa, bagaimana dan apa dalam menyampaikan berita. Tidak cukup ruang untuk kuselitkan emosi buat penyedap cerita.

a)  Nyatakan dua nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)  Berikan dua perwatakan Aku.   [2 markah]


9.  Bagi Pak Mid, usaha dan doa kepada Allah adalah penting jika mahu berjaya dalam apa-apa jua yang dicita-citakan. Dia tidak mudah melatah dengan perli dan sindiran orang lain. Bagi dirinya, semua penduduk kampung ialah saudaranya. Oleh itu, dia tidak sedikit pun menaruh sangka buruk terhadap mereka. Dia terus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dia sudah berjaya.

a) Nyatakan dua persoalan dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan dua pengajaran.  [4 markah]


10. Sahat membayangkan setiap hari Bukit Emas bakal digondolkan untuk diniagakan tanah kuning dan batu-batannya. Sahat membayang keadaan setiap pokok durian, pokok rambutan, cempedak, dan langsat penduduk Kampung Kuah yang menghijau di Bukit Emas akan tumbang menyembah bumi. Selama ini pokok buah-buahan di Bukit Emas telah menjadi punca rezeki mereka dan menjadi pemikat orang luar termasuk pelancong berkunjung ke Kampung Kuah di kaki Bukit Emas.

a) Nyatakan dua latar tempat berserta contoh dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan satu teknik plot /penceritaan dalam petikan.  [2 markah]



25 Februari 2023

Senarai Nama Sasterawan Negara sehingga 2023




1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk Dr. A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan atau Dr. Syed Othman Syed Kelantan
10. 2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
11. 2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
12. 2013 : Datuk Hj. Baharuddin Zainal
13. 2016: Datuk Dr. Zurinah Hassan
14. 2019: Datuk Dr. Siti Zainon Ismail
15. 2022: Prof. Dato' Dr. Rahman Shaari

24 Februari 2023

Glosari Istilah Gaya Bahasa

1. Anafora-pengulangan kata pada awal baris. Contohnya,
Tiap insan mengecap nikmat merdeka,
Tiap saat menghirup segar uadara kebebasan,

2. Epifora-pengulangan perkataan pada akhir baris.
Contohnya, Fajar hilang ditelan sibuk kota,
Tawaku kemarau di dada kota,

3. Responsi-pengulangan kata pada tengah baris. Contohnya,
Kemerdekaan adalah milik kami,
Kebebasan adalah impian semua,

4. Hiperbola- gaya bahasa perbandingan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan-lebihan.
Contohnya, Darah mengalir menganak sungai, Dia berendam air mata.

5. Hybrid-penggabungan dua patah kata.
Contohnya, menyinarresap, sedihpilu.

6. Inversi-pembalikan kata iaitu urutan kata yang menyimpang daripada kebiasaan supaya menjadi baris yang lebih menarik dan menghasilkan kesan tertentu.
Contohnya,terasa sekali dingin angin.

7. Metafora-gabungan kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna asal. Pada kebiasaannya, mengandungi 2 patah perkataan gabungan kata konkrit dan abstrak.
Contohnya, jentera ingatan, gunung harapan,fajar cemerlang.

8. Personifikasi- gaya bahasa perbandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda,haiwan dan tumbuhan.
Contohnya, hatiku dimamah sepi, mentari tersenyum riang.

9. Simbolik-juga dikenali sebagai perlambangan. Melukiskan sesuatu dengan menggunakan benda lain sebagai lambang. Contohnya,’merpati’ melambangkan ‘kebebasan’ dan ‘gunung’ melambangkan ‘cita-cita.’

10. Simile- gaya bahasa perbandingan yang digunakan untuk membandingkan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan iaitu umpama,bak,bagai,macam,laksana. Contohnya, ibuku bagaikan pelita, dia berjalan laju seperti angin

11. Perbandingan terus
Gaya bahasa perbandingan yang tidak menggunakan kata bak, seperti, bagaikan, umpama, macam, laksana.
Contohnya, tanahair adalah ibundaku, guruku mentari bersinar.

12. Sinkope-kata singkatan.
Contohnya, nak, saja, kau, tak, dah.

13. Kata ganda- kata yang digandakan seperti rumah-rumah, bukit-bukau, warna-warni, daun-daun.

14. Alusi- penggunaan nama tokoh manusia dengan membawa maksud tertentu. Contohnya, Dengan langkah Hang Tuah, dia melonjakkan nama negara.

15. Asonansi – pengulangan bunyi vokal dalam baris. Contohnya, asonansi a, mereka mencipta jaya.

16. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan dalam baris.
Contohnya, aliterasi k, akan kukendong impian keluarga.

23 Februari 2023

Glosari Sastera Siri 1

Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris puisi; biasanya pada awal kata/perkataan yang berurutan. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurenungi" karya Jihaty Abadi: 'kurenungi kemurnian kehidupan'. Dalam baris ini terdapat pengulangan bunyi konsonan k pada setiap awal perkataan. Pengulangan seperti itu menimbulkan kesan keindahan bunyi.

Alusi
Satu ragam atau jenis gaya bahasa perbandingan yang rnerujuk secara tidak Iangsung kepada sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh atau karya sastera yang terkenal. Contohnya, petikan daripada puisi "Perarakan Suku Abad" karya Zurinah Hassan: 'Wan Empok dan Wan Malini'. Dalam contoh ini terlihat perbandingan kemewahan dan kemakmuran yang merujuk kepada kemewahan Wan Empok dan Wan Malini, tokoh metos dalam Sejarah Melayu, karya sastera yang terkenal itu.

Ambiguiti
Makna kata/perkataan atau ungkapan dalarn puisi yang mernpunyai pelbagai kemungkinan tafsiran, iaitu lebih daripada satu makna atau tafsiran. Dengan demikian, ambiguiti disebut juga ketaksaan. Puisi yang seperti ini memang agak sukar untuk diselami maknanya secara tepat atau jelas tetapi dianggap sebagai puisi yang kuat dan segi isi atau pemikirannya.

Anafora
Satu ragam atau jenis gaya bahasa pengulangan, iaitu kedudukan pengulangan satu kata/perkataan atau lebih pada awal baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurnia" karya Shamsuddin Jaafar:
adalah kerinduan
adalah harapan
adalah keriangan

Dalam contoh tersebut, terdapat pengulangan perkataan 'adalah' pada awal setiap baris. Pengulangan ini menimbulkan kesan keindahan bunyi dan bertujuan untuk menguatkan pernyataan maksud.

Asonansi
Pengulangan bunyi vokal yang sama pada kata/perkataan yang berurutan dalam baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Keindahan yang Hilang" karya Shamsuddin Jaafar: 'terbang beriring di rembang petang'. Dalam baris-baris, terdapat pengulangan bunyi vokal e pada setiap perkataan. Pengulangan begini menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.

Bahasa Denotatif
Bahasa yang mempunyai makna jelas, tepat atau khusus seperti dalam kamus. Jadi, bahasa demikian hanya memberikan makna yang tersurat, iaitu apa yang ditulis atau disebut maka itulah maknanya. Contohnya: 'seorang ayah dan suami' daripada puisi 'Bila Berjauhan' karya A. Wahab Ali.

22 Februari 2023

Nada Sajak

Sering kali, pelajar beranggapan bahawa terdapat beberapa nada dalam sesebuah sajak. Misalnya, nada romantis pada rangkap pertama dan nada sinis pada rangkap kedua. Anggapan ini kurang tepat. Hal ini kerana hanya ada satu nada sahaja bagi sebuah sajak.

Terdapat lima nada sajak. Nada patriotik, nada melankolik, nada sinis, nada romantis, nada protes. Nada patriotik ialah nada yang paling mudah dikenal pasti oleh pelajar. Mudah sahaja, kerana penyajak menggunakan idea dan perasaan yang mencintai negara, menentang penjajahan atau menggambarkan kasih bangganya kepada kemajuan negara.

Nada sinis juga boleh dikenal apabila penyajak menyindir manusia atau mana-mana pihak dalam sesuatu isu tertentu. Jelasnya, penyajak berasa kurang puas hati terhadap mana-mana pihak tetapi tidak menggambarkan kemarahannya. Sebaliknya, unsur sindiran yang digunakan.

Nada protes pula dapat dikenal sekiranya penyajak berasa marah dan menggunakan kata-kata yang menggambarkan rasa geram dan berterus-terang terhadap sesuatu isu atau pihak.

Nada melankolik juga sering ditemukan kerana penyajak akan meluahkan rasa sedih, pilu dan hiba dalam keseluruhan sajak. Biasanya, berkaitan dengan isu kehilangan orang tersayang atau kecewa dalam percintaan serta sedih terhadap keadaan yang berlaku dalam masyarakat.

Nada romantis merupakan nada yang paling lazim kerana nada ini terdapat dalam kebanyakan sajak iaitu sajak-sajak berkaitan kehidupan harian, kisah silam atau pengamatan penyajak terhadap alam atau manusia. Oleh sebab itu, nada sajak romantis kurang ditanya dalam peperiksaan.

21 Februari 2023

Jenis Watak dalam Karya

Dalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita.

Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis. Contohnya, watak Pak Soh dalam Novel Mereka Yang Tertewas.

Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca.

Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah. Misalnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.

Jelasnya, Pembaca tidak lagi terkejut dengan tindak-tanduk watak tersebut kerana pembaca telah dapat mengagak sebarang kemungkinan yang akan dilakukannya berdasarkan sifat peribadi yang dimilikinya. Biasanya, terdapat dua kategori watak pipih yang dipaparkan oleh pengarang cerita, iaitu:

a. Watak pipih yang berpihak kepada protagonis.

Contohnya, Watak Jemilah, Pudin, Mat Yassin dan Uda Puat dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Lebai Pa.

b. Watak pipih yang berpihak kepada antagonis.

Watak-watak ini cenderung berpihak kepada antagonis. Contohnya, Watak Khatijah dan Kidam dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Pak Soh.

Watak Statik

Watak yang tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita. Ia digambarkan terus dengan pendiriannya atau tingkah laku yang ditonjolkannya dari awal hingga akhir cerita. Contohnya, Watak Mat Yassin dalam Mereka Yang Tertewas.

2. Watak Sampingan

Watak-watak pembantu yang ditimbulkan oleh pengarang dalam cerita untuk menyokong tindak-tanduk watak utama. Watak-watak ini diwujudkan sebagai pelengkap cerita. Watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam cerita.