Teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM

Kubentang Sebuah Peta (Antologi Teks Moden), Nilai Insan (Antologi Teks Tradisional) Naratif Ogonshoto (Novel)

Carian Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Teknik Menjawab Persoalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknik Menjawab Persoalan. Papar semua catatan

07 Mac 2023

Teknik Menjawab Persoalan Siri 2

Ada pelajar yang menjawab seperti berikut :
1. Persoalan seorang anak yang insaf menderhaka kepada ibu bapa.
2. Persoalan seorang ibu tunggal yang gigih menyara hidup keluarga.
3. Persoalan rakyat yang patuh kepada raja.
4. Persoalan masyarakat yang bertindak melanggar undang-undang.
5. Persoalan mat rempit yang mengganggu ketenteraman.

Apakah kesilapan yang dilakukan? Ya, perkataan seorang. atau ganti nama. Kata seorang atau ganti nama itu kita gunakan apabila menghuraikan perwatakan watak. Persoalan bukan watak. Persoalan merujuk isu yang diutarakan dalam karya. Maka, isu yang perlu dinyatakan dahulu. Oleh itu, pelajar seharusnya menulis seperti berikut :
1. Persoalan keinsafan anak yang derhaka terhadap ibu bapa.
2. Persoalan kegigihan dalam menyara keluarga.
3. Persoalan ketaatan rakyat kepada raja.
4. Persoalan sikap suka melanggar undang-undang.
5. Persoalan gangguan ketenteraman oleh mat rempit.

Kata kerja juga bukan menggambarkan isu atau persoalan tetapi kata nama. Bagaimanapun, adakalanya ada kata kerja juga boleh berdiri sebagai kata nama. Contohnya : cinta. Persoalan cinta akan tanah air diterima kerana dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita berbahasa menggunakan frasa- kecintaan akan tanah air.

Begitu juga, dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita temukan persoalan penepatian janji, maka frasa persoalan menepati janji adalah diterima. Jelasnya, terdapat frasa kerja yang boleh diterima sebagai persoalan mengikut norma pengunaan normatif bahasa Melayu. 
Bagaimanapun, kekecualian adalah kes-kes terpencil.

Sebab pada kelazimannya, kita menggunakan perkataan tertentu bagi mengubah frasa kerja menjadi frasa kata nama. Berikut ialah contoh-contoh lazim yang boleh menjadi panduan pelajar. 

1. Persoalan menghormati tetamu. (kurang tepat)
Persoalan amalan menghormati tetamu.(tepat)
2. Persoalan berjudi dalam masyarakat (kurang tepat)
Persoalan perjudian /aktiviti judi dalam masyarakat (tepat)
3. Persoalan menzalimi orang miskin. (kurang tepat)
Persoalan kezaliman terhadap orang miskin. (tepat)

Begini juga, tepat apabila isu yang diutarakan oleh karyawan melibatkan sebab-akibat.
4. Persoalan penderitaan hidup akibat kemiskinan.(tepat)
5. Persoalan kemusnahan alam sekitar akibat pembangunan. (tepat)
6. Persoalan kesusahan hidup akibat wabak penyakit. (tepat)



06 Mac 2023

Teknik Menjawab Persoalan Siri 1

Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim? Kita lihat contoh di bawah.

Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan kebijaksanaan. (Diikuti contoh)

Kesemua jawaban di atas adalah kurang tepat. Sebabnya, nilai kasih sayang, nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan. Nilai bukannya persoalan. Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan berbentuk frasa. Contoh jawapan yang dibetulkan:

Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap murid. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah kurang tepat walaupun ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Terdapat persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Juga, persoalan kedamaian. (Diikuti contoh) Kurang tepat.

Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan sikap suka memfitnah orang lain terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan perebutan harta dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan amalan mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan inisiatif dalam mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)