Teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM

Kubentang Sebuah Peta (Antologi Teks Moden), Nilai Insan (Antologi Teks Tradisional) Naratif Ogonshoto (Novel)

Carian Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Pantun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pantun. Papar semua catatan

27 Mac 2023

Pantun Nilai Insan - Pantun Enam Kerat

Bawa denak bersangkar rotan,
Di dalam semak sangkut di dahan,
Dahan sedepa tempat gantungan,
Nilai anak kerana ketaatan,
Nilai emak kerana asuhan,
Nilai bapa kerana tanggungan.

Menjelang senja ke Kampung Panggas,
Mencari halia di dalam huma,
Untuk dicampurkan di dalam adunan,
Nilai pekerja jalani tugas,
Nilai penyelia adil saksama,
Nilai majikan penuh keihsanan.

Pohon kuini di tengah pinggiran,
Tempat terkinja si anak rusa,
Pemburu mengepung sorak melolong,
Nilai penghuni mesra berjiran,
Nilai ketua bertimbang rasa,
Nilai sekampung tolong-menolong.

Hujan sereyat di tengah hari,
Menjemur lampin pinggir kawasan,
Baju kemeja dijemur sama,
Nilai rakyat beretika diri,
Nilai pemimpin ada wawasan,
Nilai raja berbudaya agama.



Maksud
Rangkap
1 Tanggungjawab dalam sesebuah keluarga, anak yang taat kepada ibu bapanya,
emak yang mendidik anak-anak dan bapa yang menanggung keluarga.

Rangkap
2 Pekerja yang baik menjalankan tugas dengan baik, penyelia yang baik berlaku
adil dan saksama manakala majikan yang baik bersifat ihsan kepada pekerja.

Rangkap
3 Penghuni sesuatu kawasan yang baik adalah bersikap mesra dengan jiran, ketua
masyarakat yang baik bersikap bertimbang rasa dan masyarakat kampung yang baik
mengamalkan tolong-menolong sesama masyarakat.

Rangkap
4 Rakyat yang baik mengamalkan etika diri, pemimpin yang baik mempunyai wawasan
manakala raja yang baik mementingkan budaya beragama.



a) Analisis bentuk puisi/ Huraikan bentuk pantun.

Puisi ini mempunyai rangkap/berangkap. Puisi ini terdiri daripada 4 rangkap. Bilangan baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 6 baris serangkap. Jumlah patah perkataan setiap
baris tidak sama. Terdapat 3 hingga 4 patah perkataan setiap baris. Bilangan suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 9 hingga 11 suku kata setiap baris. Terdapat jeda di tengah
baris. Cth : Dahan sedepa/tempat gantungan. Rima akhir puisi adalah berselang.
Rima akhir pantun ialah abcabc. Puisi berbentuk terikat kerana rima akhir adalah berselang abcabc. Puisi ini mempunyai pembayang dan maksud. Baris pertama, kedua dan ketiga adalah pembayang manakala baris keempat, kelima dan keenam adalah maksud.



b) Huraikan pengajaran/mesej.

Kita hendaklah taat kepada ibu bapa. Contohnya, Nilai anak kerana ketaatan. Sebagai bapa, kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga. Contohnya, Nilai bapa kerana tanggungan. 
Kita hendaklah rajin/bertanggungjawab menjalankan tugas dengan baik.
Contohnya, Nilai pekerja jalani tugas. 
Kita hendaklah berlaku
adil dan saksama kepada pekerja. Contohnya, Nilai penyelia adil saksama.
Kita hendaklah bersikap mesra dengan jiran tetangga. Contohnya, Nilai penghuni mesra
berjiran. 
Kita hendaklah mempunyai wawasan. Contohnya, Nilai pemimpin ada wawasan.


c) Terangkan nilai kemanusiaan/murni.

Nilai ketaatan. Cth : Nilai anak kerana ketaatan. 
Nilai tanggungjawab. Cth : Nilai bapa kerana tanggungan. 
Nilai keadilan. Cth: Nilai penyelia adil saksama.
Nilai tolong-menolong. Cth : Nilai sekampung tolong-menolong.


d) Huraikan tema dan persoalan.

Tema
– Nilai kemanusiaan yang penting dalam peranan hidup seseorang. Penulis
menggambarkan nilai-nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap orang dalam
menjalankan peranannya. Cth : Nilai pekerja jalani tugas, Nilai penyelia adil
saksama.

Persoalan
– Persoalan tanggungjawab dalam sesebuah keluarga.
Contoh, Nilai bapa kerana tanggungan. 
Persoalan amalan baik dalam sesebuah organisasi. 
Contoh : Nilai majikan penuh keihsanan. 
Persoalan semangat kejiranan yang tinggi.
Contoh : Nilai sekampung tolong-menolong.



26 Mac 2023

Pantun Empat Kerat - Kasih Jualan

Burung kekek burung di hutan,
Terbang naik berlegar-legar,
Mari encik marilah tuan,
Barang baik baru keluar.

Hari Jumaat pergi memukat,
Orang menangguk ikan di kali,
Minta maaf belum berhajat,
Datang menengok, bulan membeli.

Empat lima kuda di medan,
Kuda tengkot ke depan juga,
Bukan panglima rupanya tuan,
Makanya takut masuk berniaga.

Kuda tengkot menang berlumba,
Lompat bertangkup keempat kaki,
Mengapa takut masuk berniaga,
Kurangkah sanggup sifat lelaki.

Penakut sungguh rupanya ikan,
Umpan di kail lari menepi,
Kedekut sungguh tuan nak makan,
Makanan baik tidak terbeli.

Kalau mengail ikan tenggiri,
Umpan di taut ikannya bilis,
Makanan baik tidak terbeli,
Sayang takut duitnya habis.

Air hangat air bertapis,
Tuangkan saya agak secawan,
Sayang sangat duitnya habis,
Kurang tenaga tidak melawan?

Pasang panjut keliling rumah,
Bunga api di tengah laman,
Bukan kedekut, bukannya lemah,
Cumanya hati belum berkenan.

Dari Medan ke Sibolga,
Padi di Langkat bawa ke Deli,
Kasih bukan barang berniaga,
Hati tak dapat dijual beli.


Rangkap 1 
Peniaga mengalu-alukan kedatangan pelanggan kerana terdapat barangan/produk baharu dikedainya.
Rangkap 2 
Pembeli menolak kerana belum berniat untuk mendapatkan barangan tersebut.
Rangkap 3 
Penjual mengatakan pelanggan bukan seorang yang berani kerana takut membeli barang jualannya.
Rangkap 4
Peniaga mencabar pembeli untuk membeli barangan dan mempersoalkan keberaniannya.
Rangkap 5 
Peniaga mencabar pembeli supaya membeli makanan jualannya dengan mengatakannya
kedekut.
Rangkap 6 
Peniaga mencabar pembeli dgn mengatakan pembeli bimbang wangnya akan habis
sedangkan barangnya baik.
Rangkap 7 
Peniaga mencabar pembeli kerana berdiam diri dan mungkin bimbang kehabisan
wang jika membeli barangnya.
Rangkap 8 
Pembeli menyatakan ia bukan kedekut atau lemah tetapi belum berhajat kepada
barangan yang dijual.
Rangkap 9 
Pembeli menjelaskan bahawa keinginan dan perasaan bukan sesuatu yang boleh
dipaksa oleh peniaga.

Huraikan bentuk pantun.
Puisi ini berangkap. Puisi ini terdiri daripada 9 rangkap. Bilangan baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 4 baris serangkap. Jumlah patah perkataan setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 3 hingga 5 patah perkataan setiap baris. Bilangan suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 8 hingga 11 suku kata setiap baris. Terdapat jeda di tengah baris. Cth : Mari encik/marilah tuan. Rima akhir puisi adalah berselang. Rima akhir pantun ialah abab. Puisi berbentuk terikat kerana rima akhir berselang abab. Puisi ini mempunyai pembayang dan maksud. Baris pertama dan kedua adalah pembayang manakala baris ketiga dan keempat adalah maksud.


Huraikan pengajaran.
Kita hendaklah berbudi bahasa/menggunakan kata sapaan yang sesuai kepada pelanggan/menghormati orang lain. Cth: Mari encik marilah tuan.
Penjual/Kita janganlah biadab/bercakap kasar/mencabar pelanggan. Cth : Bukan panglima
rupanya tuan. 
Kita hendaklah berani melibatkan dalam perniagaan atau bidang yang baharu. 
Cth : Mengapa takut masuk berniaga,
Kurangkah sanggup sifat lelaki.

Terangkan nilai kemanusiaan/murni.
Nilai kesopanan. Cth :
Mari encik marilah tuan.
Nilai hormat-menghormati. Cth : Minta maaf belum berhajat.
Nilai keberanian. Cth : Mengapa takut masuk
berniaga.

Huraikan tema dan persoalan Pantun Kasih Jualan.

Tema – Adab dalam perniagaan. Penulis menggambarkan
adab penjual kepada pelanggan. Cth : Mari encik, marilah tuan, Barang baik baru
keluar.

Persoalan – Persoalan keberanian dalam melakukan sesuatu yang baharu.
Cth: 
Mengapa takut masuk berniaga,
Kurangkah sanggup sifat lelaki.

Persoalan sikap kedekut dalam mendapatkan barangan yang baik/berkualiti.
Cth : Kedekut sungguh tuan nak makan, 
Makanan baik tidak terbeli.

Persoalan kesabaran dalam menghadapi sikap buruk orang lain. 
Cth : Bukan kedekut, bukannya lemah, 
Cuma hati belum berkenan


25 Mac 2023

Pantun Dua Kerat - Resam Hidup Manusia

Maksud Pantun

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Manusia mempunyai pelbagai karenah dan kemahuan yang berbeza.


Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Manusia mempunyai perasaan dan sikap yang berbeza antara satu sama lain.


Lain ulu lain parang,
Lain dahulu lain sekarang.

Keadaan kehidupan yang dahulu amat berbeza dengan keadaan kehidupan masa kini.


Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.

Seseorang yang membuat kebaikan, akan mendapat balasan yang baik juga.


Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.

Apabila orang membantu kita, ucapkan terima kasih atau menghargai pemberian mereka.


Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

Sesuatu maklumat/berita pasti ada kebenarannya, barulah diperkatakan orang.


Sebab pulut santan terasa,
Sebab mulut badan binasa.

Percakapan yang kasar/buruk akan mengakibatkan bencana kepada seseorang.


Pagi petang siang malam.
Hati terang senang faham.

Orang yang terang hati akan mudah memahami setiap perkara yang diajarkan kepada mereka.


Huraikan bentuk pantun.

Puisi ini adalah berangkap. Puisi ini terdiri daripada 8 rangkap. 
Jumlah baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 2 baris serangkap.
Jumlah perkataan setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 4 hingga 5 patah perkataan setiap baris.
Jumlah suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 7 hingga 11 suku kata setiap baris.
Terdapat jeda di tengah baris. Cth : pagi petang/siang malam. 
Rima akhir puisi adalah sama iaitu aa.
Puisi tersebut berbentuk terikat. Hal ini kerana rima akhir puisi adalah
sama iaitu aa.
Puisi ini terdiri daripada pembayang dan maksud. Baris pertama ialah
pembayang, baris kedua ialah maksud.

b) Huraikan pengajaran pantun.
Kita hendaklah berterima kasih/menghargai pemberian orang lain. 
Cth : Orang memberi kita merasa.
Kita janganlah bercakap kasar/buruk kepada orang lain kerana akan membawa akibat buruk kepada diri sendiri. 
Cth : Sebab mulut badan binasa.
Kita hendaklah berbuat baik kepada orang lain kerana akan menerima balasan yang baik juga. 
Cth : Ada budi ada balas.
Kita hendaklah memahami dan menerima pelbagai ragam sikap manusia. 
Cth: Banyak orang banyak ragam.

d) Terangkan nilai kemanusiaan/nilai murni pantun tersebut.
Nilai menghargai. Cth : Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa. 
Nilai kesopanan. Cth : Sebab mulut badan binasa.
Nilai toleransi. Cth : Banyak orang banyak ragam. 
 Nilai kebijaksanaan. Cth : Hati terang senang faham.

e) Huraikan tema dan persoalan.

Tema puisi ialah pelbagai ragam hidup manusia. Penulis menggambarkan ragam manusia yang lazim dalam kehidupan. Cth : Banyak orang banyak ragam dan Lain orang lain hatinya.

Persoalan :
Percakapan kasar membawa akibat buruk kepada diri seseorang. Cth : Sebab mulut badan binasa.
Persoalan sikap menghargai pemberian/jasa orang lain. Cth : Orang berbudi, kita berbahasa, Orang memberi kita merasa.
Persoalan balasan baik kepada perbuatan baik. Cth : Ada budi ada balas.

f) Huraikan gaya bahasa.
Anafora. Cth : Sebab pulut santan terasa, Sebab mulut badan binasa. Sinkope. Cth :Tak.
Peribahasa. Cth : hati terang. Asonansi a. Cth : Banyak udang banyak garam. Aliterasi t. Cth : Tak tumbuh tak melata.


g) Huraikan pandangan terhadap pengajaran puisi.

Kita hendaklah membalas budi setiap orang yang telah berbudi/ berjasa kepada kita.
Setiap budi/ jasa seseorang itu sepatutnya dibalas dengan setimpal 

Contoh: Ada ubi ada batas, 
Ada budi ada balas.

Kita hendaklah menghargai pemberian orang lain sebagai tanda berterima kasih.   
Setiap pemberian orang akan dihargai oleh orang lain 

Contoh: Orang berbudi kita berbahasa, 
Orang memberi kita merasa.

Kita hendaklah menjaga kelakuan diri supaya tidak diperkatakan oleh orang lain.

Setiap orang perlu menjaga tingkah laku/perangai supaya tidak dicemuh oleh orang lain.

Contoh: Tak tumbuh tak melata, 
Tak sungguh orang tak kata.

Kita mestilah menjaga percakapan agar tidak mendatangkan masalah kepada diri kita sendiri.

Setiap kata-kata dijaga supaya tidak mendatangkan musibah terhadap diri kita.

Contoh: Sebab pulut santan terasa, 
Sebab mulut badan binasa.

Kita hendaklah memahami perangai manusia yang berbeza-beza dalam masyarakat.

Setiap orang perlu memahami bahawa setiap orang mempunyai perangai yang berlainan.

Contoh: Banyak udang banyak garam, 
Banyak orang banyak ragam.

Kita hendaklah memahami perasaan setiap manusia yang berbeza-beza dalam masyarakat

Setiap orang perlu memahami bahawa setiap orang mempunyai perasaan yang berlainan.

Contoh: Lain dulang lain kakinya, 
Lain orang lain hatinya.

Kita mestilah menyesuaikan diri mengikut perubahan masa agar tidak ketinggalan zaman.
                                                                                                                                                     
Setiap orang mesti menyesuaikan diri mengikut peredaran masa/waktu supaya tidak dianggap ketinggalan zaman.

Contoh: Lain ulu lain parang,
Lain dahulu lain sekarang.